Malaysia Berita

Pahang Mohon Daftar Sumareh Sebagai Pemain Tempatan

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) melalui pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang sudah menghantar permohonan bagi mendaftarkan Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) minggu lalu.

Bercakap kepada media, Suffian Awang berkata ia adalah sebahagian daripada pelan bagi menghadapi Piala AFF musim hadapan dalam usaha untuk mendapatkan import baharu.

“Oleh itu, kami harap MFL mempertimbangkan Sumareh yang juga pemain naturalisasi didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Sudah pasti peminat bola sepak khususnya Pahang mahu melihat Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan selepas membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF.

“Sememangnya kami mengharapkan keputusan positif daripada MFL terutama bagi urusan pendaftaran pemain import baharu dalam usaha memperkasakan skuad Tok Gajah,” katanya kepada Berita Harian.