Piala Malaysia Berita

Tiga pemain Selangor ke Sukan Asia

Dua pemain import Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn serta pemain sayap, Syahmi Safari tidak akan bersama Selangor dalam saingan Piala Malaysia apabila mewakili negara masing-masing ke Sukan Asia 2018 yang akan bermula minggu depan.

Kehilangan sehingga tiga orang pemain sudah tentu menggusarkan mana-mana jurulatih, namun jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir beranggapan sebaliknya.

Katanya, Selangor mempunyai ramai pemain yang boleh mengisi kekosongan antaranya Amri Yahyah, Sean Selvaraj, Joseph Kalang Tie dan Faizzudin Abidin menjelang aksi pembukaan Piala Malaysia berdepan PKNP FC di Stadium Shah Alam, hari ini.

“Sudah pasti Selangor akan bermain sebaik mungkin untuk mendapatkan tiga mata pertama, sekali gus menjadi motivasi untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

“Kami tidak boleh pandang rendah keupayaan PKNP kerana mereka adalah pasukan yang sering melakukan kejutan dan Piala Malaysia juga berbeza dengan saingan Liga Super dan Piala FA.

“Setiap pasukan sentiasa berikan aksi terbaik dan Selangor juga akan mengambil aura kejayaan dan kegemilangan dalam Piala Malaysia sebelum ini,” katanya.

Syahmi kini berada di China bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk aksi pemanas badan terakhir berdepan skuad China B-23, Ahad ini sebelum berlepas ke Jakarta minggu depan.

Evan dan Ilham pula bersama skuad Indonesia dalam usaha mereka memburu pingat selaku tuan rumah Sukan Asia.

Selangor diundi dalam Kumpulan D bersama Pahang, PKNP dan Sabah.