Piala Malaysia Berita

Hampir setahun menghilang, Hafiz Kamal masih belum bersedia turun padang

Sekalipun sudah pulih daripada kecederaan lutut, Hafiz Kamal nampaknya masih belum bersedia sepenuhnya untuk membantu Perak mengharungi Piala Malaysia.

Pemain berusia 31 tahun itu telah berehat sejak menjalani pembedahan pada November tahun lalu dan tidak mahu mengambil risiko dengan memaksa diri untuk segera beraksi kerana bimbang kecederaan itu akan berulang.

“Saya sudah menyertai rakan-rakan dalam latihan. Setakat ini tidak ada rasa sakit, cuma saya masih mengalami kesukaran untuk membengkokkan kaki.

“Kalau ikutkan hati, saya tidak sabar untuk bermain kerana sudah hampir setahun saya berehat. Tetapi, memandangkan baru pulih, saya belum bersedia kerana bimbang kecederaan akan berulang jika dipaksa.

“Dalam keadaan sekarang, elok saya tumpukan kepada latihan untuk mengembalikan kecergasan serta sentuhan. Masa terbaik untuk saya beraksi semula adalah awal musim depan,” katanya kepada Berita Harian.

Namun pemain itu beranggapan Perak tidak terdesak kerana sepanjang ketiadaannya musim ini, pasukan itu beraksi cemerlang sehingga muncul sebagai naib juara Liga Super.

Malah, Hafiz yakin skuad The Bos Gaurus boleh melangkah ke peringkat akhir dalam saingan Piala Malaysia tahun ini selepas disekat Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir dengan kekalahan 1-4 secara agregat musim lalu.

“Bukan berniat untuk memperkecilkan pasukan lain tetapi berdasarkan prestasi Perak musim ini, peluang untuk melepasi peringkat kumpulan sangat cerah walaupun akan menerima tentangan sengit daripada tiga pasukan lain,” katanya.

Perak berada dalam kumpulan A bersama Terengganu, Kuala Lumpur dan Felcra FC.

Naib juara Liga Super itu akan memulakan kempen Piala Malaysia menentang Felcra di Stadium Perak, malam ini.