Luar Negara Piala Dunia 2018

Saya, Kylian dan Thorgan adalah penyokong Perancis, kata Eden Hazard

Pemain tengah Belgium, Eden Hazard mendedahkan, sepanjang hidupnya, beliau membesar sebagai seorang penyokong Perancis.

Malah gambar bersama adik-beradiknya Thorgan yang kini beraksi di Borussia Monchengladbach dan Kylian di Chelsea tular di media sosial baru-baru ini apabila ketiga-tiganya dilihat memakai jersi Perancis bernombor 10 yang pernah disarungkan oleh legenda bola sepak dunia, Zinedine Zidane.

Malah beliau mengakui sentiasa menyaksikan perlawanan yang membabitkan Zidane dari kaca televisyen malah menumpukan cara permainannya berjam-jam di Internet.

Namun, Hazard pastinya berdepan situasi berbelah bahagi berdepan Perancis awal pagi ini selepas beliau mengakui mula menjadi peminat tegar Perancis sejak kejayaan Les Bleus menjulang Piala Dunia 1998.

Pemain berusia 27 tahun itu membesar di sebuah kawasan Belgium yang menggunakan bahasa Perancis dan begitu dekat dengan negara itu sejak menyertai pasukan Lille ketika berusia 14 tahun.

“Saya bersama adik beradik sentiasa menyokong Perancis lebih dari Belgium kerana membesar dengan kejayaan Perancis 1998.

“Pada masa itu, tidak terdapat jersi Belgium, sebab itu kami sering memakai jersi Perancis.

“Saya bukan hendak merendahkan kemampuan pasukan Belgium ketika itu, mereka adalah pemain yang bagus, tetapi pada masa itu Perancis lebih hebat,” katanya.

Malah, sehingga kini Hazard mengakui bahawa Perancis mempunyai pemain yang cukup hebat termasuklah pemain yang digemarinya ketika ini iaitu Kylian Mbappe.

“Saya sangat gembira dengan apa yang dilakukannya ketika ini. Jika Mbappe menonton video perlawanan saya ketika beliau masih kecil, hari ini saya pula menonton videonya,” katanya.