Penjaga gol Roma, Alisson dilaporkan pernah bertanyakan mengenai Liverpool kepada Roberto Firmino.
Firmino yang kini bersama-sama Alisson dalam skuad kebangsaan Brazil bagi persiapan Piala Dunia 2018 mengesahkan perkara tersebut, malah cuba memujuk Alisson supaya menyertai pasukannya.
“Ya, beliau ada bertanya kepada saya mengenai Liverpool dan saya harap beliau akan ke sini tapi saya tahu beliau ada tawaran lain.
“Sekali sekala saya akan memujuknya datang ke Liverpool tetapi ini semua bergantung kepada ejennya.
“Tidak salah jika beliau mahu ke Liverpool,” katanya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.
Roma yang sebelum ini menjual Mohamed Salah musim lalu dengan yuran perpindahan €42 juta euro sahaja akan cuba meletakkan harga yang mahal bagi sesiapa yang ingin mendapatkan Alisson.
Kebanyakan laporan di Itali menyatakan Roma hanya akan melepaskan Alisson dengan nilai antara €70 dan €80 juta euro.
Alisson yang berusia 25 tahun berpindah ke Roma pada 2016 dari kelab Brazil, Internacional dengan yuran perpindahan sebanyak €8 juta euro.
Namun begitu, beliau terpaksa menjadi penjaga gol kedua apabila Roma sering menggunakan Wojciech Szczęsny sebagai penjaga gol utama.
Selepas Szczęsny berpindah ke Juventus, Alisson menjadi penjaga gol utama Roma dan aksi yang dipamerkan cukup luar biasa sehinggakan langsung tidak membenarkan sebarang gol bolos di Stadio Olimpico sepanjang kempen Liga Juara-juara Eropah sehinggalah perlawanan menentang Liverpool di separuh akhir.
Malah, Alisson juga terpilih sebagai salah seorang pemain dalam Pasukan Terbaik Liga Juara-juara Eropah bagi musim ini.