Seperti yang telah diumumkan, Malaysia telah diundi bersama-sama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos bagi Kumpulan A. Manakala hasil undian bagi Kumpulan B adalah Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor-Leste/Brunei. Jika kita imbas kembali, hasil undian ini mirip kepada hasil undian pada Piala AFF Suzuki 2016 kecuali tahun ini, setiap kumpulan menempatkan lima pasukan.
Skuad Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila dapat mengelakkan daripada Thailand dan Filipina pada peringkat kumpulan. Seperti kita sedia maklum, Thailand mempunyai barisan pemain yang bermain di Jepun dan juga Eropah.
Selain itu, pemain-pemain liga Thai juga tidak kurang hebatnya dengan beberapa kelab Thai bermain di Liga Juara-Juara AFC. Selain itu, skuad Filipina, seperti yang kita tahu, memiliki ramai pemain naturalisasi yang berkualiti. Kedua-dua pasukan ini menduduki ranking ke-122 dan ke-113.
Namun, skuad kendalian Tan Cheng Hoe harus berwaspada dengan pasukan Vietnam yang kini berada di kedudukan 103 dunia. Selain itu, Malaysia juga perlu menghadapi pasukan Kemboja dengan serius supaya tidak mengulangi kekecewaan kekalahan 0-1 pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 yang lalu.
Apa yang lebih penting, Malaysia perlu meletakkan target untuk menjuarai saingan Kumpulan A pada kali ini. Hal ini kerana, Thailand dilihat sebagai pilihan untuk menamatkan saingan peringkat Kumpulan B ditangga teratas. Jika Malaysia sekadar menjadi naib juara kumpulan, peluang untuk Malaysia ke perlawanan akhir dilihat tipis.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi kejohanan ini adalah pada tahun 2010 dibawah kendalian K. Rajagobal. Manakala, Dollah Salleh hanya berjaya membawa skuad Harimau Malaya sebagai naib juara pada tahun 2014. Jadi jika Tan Cheng Hoe mahu mencipta ramuan untuk membawa Piala AFF Suzuki kembali ke Kuala Lumpur, proses tersebut perlu bermula dari sekarang.