Selangor tersingkir awal di peringkat kumpulan saingan AFC Champions League 2 musim ini.
Ia merupakan penyingkiran kedua dihadapi Selangor selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia minggu lalu.
Ini meskipun Red Giants cemerlang menewaskan Cebu 4-0 di Stadium Rizal Memorial, Filipina.
Selangor memerlukan masa sehingga hujung separuh masa pertama untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi Yohandry Orozco pada minit ke-44.
Orozco meneruskan prestasi cemerlangnya apabila menjaringkan gol kedua, hanya 3 minit selepas separuh masa kedua bermula.
Kedudukan 2-0 menambah keyakinan buat Selangor untuk terus menguasai perlawanan, sehingga akhirnya menambah gol ketiga menerusi Nooa Laine pada minit ke-57.
Alvin Fortes melengkapkan kemenangan Selangor dengan jaringan pada minit ke-79.
Dengan 73 peratus penguasaan bola, dan 489 hantaran, kedudukan 4-0 berjaya dikekalkan Selangor sehingga tamat perlawanan.
Malangnya, Selangor tersingkir di peringkat kumpulan walaupun meraih 10 mata daripada 6 perlawanan, hanya beza 1 mata dengan Muangthong United yang meraih 11 mata manakala Jeonbuk meraih 12 mata.