Liga Super Malaysia Berita

Katsuhito Kinoshi jurulatih baharu Selangor

Selangor mengumumkan Katsuhito Kinoshi telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu.

Jurulatih berusia 60 tahun itu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Kinoshi memulakan kariernya dengan bekerjasama di bawah Dragan Stankovic, jurulatih terkenal dari Serbia di Nagoya Grampus pada 2008 hingga 2014.

Stankovic kemudiannya membawa Kinoshi untuk menyertai beliau bersama skuad kebangsaan Serbia pada 2021 hingga tahun ini.

Mereka berjaya membawa skuad The Eagles muncul juara Kumpulan 4 UEFA Nations League B 2022/23 selepas menewaskan Sweden sekaligus mempromosikan pasukan mereka untuk kini bertanding di saingan UEFA Nations League A bersama Sepanyol, Denmark dan Switzerland.

Antara kejayaan lain mereka bersama adalah membantu Serbia layak ke pusinganh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar menentang Brazil, Switzerland dan Cameroon.

Selain itu, Kinoshi pernah berkelana di China dan berada di bawah bimbingan Giovanni van Bronckhorst di Guangzhou City pada 2015 hingga 2021.

“Saya merasa terharu dapat menyertai Selangor dan teruja untuk bekerja dengan pemain-pemain berbakat di sini,” katanya.

“Bersama-sama, kami akan berusaha untuk membina sebuah pasukan yang bukan sahaja kukuh dari segi taktikal, tetapi juga penuh dengan semangat dan tekad untuk berjaya.”

Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar mengalu-alukan kehadiran Kinoshi untuk membimbing Gergasi Merah.

“Kami sangat gembira untuk mengalu-alukan kehadiran Kinoshi ke dalam keluarga Selangor. Pengalaman luas dan kepimpinannya akan menjadi kunci penting untuk kami memulakan babak baharu yang menarik ini.

“Kami yakin bahawa visi beliau akan membimbing pasukan menuju kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan.”