Pihak pengurusan Kedah diberi tempoh sehingga 5 Mac 2024 sebagai tarikh akhir penyelesaian gaji tertunggak bagi tahun kewangan 2023.
Kedah yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.
“Namun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April,” kata kenyataan rasmi pemangku CEO Kedah.
“Rentetan dari kekangan untuk memenuhi keperluan sebelum tarikh akhir penyelesaian, Kedah sedang bertungkus lumus mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua pemain dan pegawai semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia serta staf pentadbiran kelab.”
Katanya, walaupun kelab bergelut dengan isu kelestarian kewangan musim lepas, pihak pengurusan tetap fokus melakukan segala persiapan pasukan Kedah untuk musim 2024-2025.
“Proses persiapan kini sudah mencapai tahap 85 peratus namun segala langkah yang diatur bergantung kepada keutamaan penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023.”
Jika tunggakan gaji berjaya diselesaikan, Kedah akan terus beraksi untuk musim baharu.
Namun, jika sebaliknya, Kedah tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia buat pertama kali dalam sejarah.
Awal tahun ini, Kelantan menjadi pasukan terbaru yang tidak dibenarkan beraksi dalam musim baharu Liga Malaysia ekoran kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji mengikut tempoh yang ditetapkan.