Liga Super Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Tambah import tambah kualiti Liga Malaysia

Jumlah kehadiran pemain import yang bertambah perlu seiring dengan kualitinya sekali gus akan meningkatkan lagi mutu Liga Malaysia di tahap yang lebih memuaskan.

Musim baharu menyaksikan pertambahan 6 pemain import di atas padang (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dengan seorang di bangku simpanan merupakan satu cabaran baharu yang dilihat akan memberi kelainan kepada sesebuah kelab.

“Ini adalah perkara yang baharu dalam Liga Malaysia,” kata jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe.

“Saya menyahut cabaran tersebut di mana sudah tentu ini akan beri peluang kepada pemain tempatan dan import untuk terus bersaing secara sihat.

“Pemain tempatan sudah tentu kena pastikan mereka mampu untuk merebut kesebelasan utama dan kalau kelab mampu untuk dapatkan 10 pemain import juga, saya tiada masalah.

“Kalau kita dah ambil pemain import, tetapi mereka tidak boleh beri impak terbaik, saya kena guna pemain tempatan juga.

“Selain itu, saya percaya kemasukan ramai pemain import berkualiti mampu melonjakkan lagi kualiti permainan sekali gus akan lahirkan ramai pemain yang lebih kompetitif.”

Selangor antara pasukan yang boleh mengikat 10 pemain import apabila bakal bersaing di pentas AFC iaitu AFC Champions League 2 (ACL 2).

Bercakap mengenai pasukan, Cheng Hoe tidak menolak musim yang mencabar untuk Selangor kali ini terutamanya selepas berjaya menjadi naib juara Liga Super 2023 musim lalu.

Dan musim ini sudah tentu fokus yang lebih tinggi perlu diberikan untuk memastikan mereka mampu meraih keputusan positif di pentas ACL 2.

“Musim yang mencabar juga untuk pasukan sebab bukan sahaja kena fokus dekat Liga Super tetapi kita juga nak bersaing di ACL 2.

“Sebab itu saya nak pemain kekal fokus dan juga memperbaiki prestasi individu selain fizikal juga penting untuk bersedia dengan musim yang begitu mencabar.

“Tahun lepas kita melakukan tugas yang cukup baik untuk raih naib juara liga dan tahun ini, sebagai jurulatih saya positif dengan pasukan ini selain setiap individu harus kerja keras.”