Malaysia Berita

Final Pestabola Merdeka 2023 kekal di SNBJ

Final Pestabola Merdeka 2023, Malaysia lwn Tajikistan kekal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini, 17 Oktober 2023 dengan sepak mula jam 9.00 malam.

Keputusan ini dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan keadaan terkini padang di stadium tersebut selepas penelitian dan penilaian dari aspek teknikal.

“Keputusan tersebut turut mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain termasuk dari aspek logistik membabitkan sekretariat, petugas serta pasukan yang terlibat,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

“Selain itu, tiada venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya.”

Jelasnya, walaupun keadaan padang baharu tidak begitu memuaskan sewaktu perlawanan pertama Pestabola Merdeka, FAM yakin dan percaya bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaikpulih keadaan rumput tersebut sebelum perlawanan final.

“Selepas pemeriksaan, mesyuarat yang disertai pihak-pihak terbabit telah bersetuju untuk aksi Final Pestabola Merdeka 2023, Selasa ini tetap dimainkan di Stadium Nasional berdasarkan perkembangan positif yang dapat dilihat pada kerja-kerja baik pulih padang tersebut.

“Malah Kim Pan Gon sendiri dari segi teknikal melihat bahawa padang tersebut boleh dimainkan dan berasakan adalah lebih baik aksi final kekal di Stadium Nasional supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya.”

Katanya, FAM berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta PSM yang berusaha keras dan sedaya upaya dalam menjayakan projek penukaran rumput baharu di Stadium Nasional dan memastikan ia dapat digunakan pada Pestabola Merdeka 2023.

“Junjung kasih juga kepada Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas kesudian baginda menaja pemasangan rumput baharu jenis Zeon Zoysia ini.

“Mungkin atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan terutama dari segi tempoh masa, keadaan padang baharu ini tidak cukup sempurna seperti yang semua harapkan untuk diguna pakai pada Pestabola Merdeka 2023 ini, namun ia masih tetap lebih baik berbanding rumput cow grass yang digunakan sebelum ini.”

Katanya, keputusan itu juga mengambil kira bahawa Stadium Nasional merupakan Home of Harimau Malaya dan jumlah penjualan tiket aksi final yang sudah melebihi 10,000 penonton setakat ini.

“Tiada venue lain di sekitar Lembah Klang yang mampu untuk menampung kapasiti tersebut kecuali Stadium Nasional.

“Malah jika dipindahkan aksi final ke Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, ia akan menimbulkan lebih masalah dan kesulitan kepada para penyokong setia Harimau Malaya yang telah pun membeli tiket-tiket tersebut kerana majoriti mereka berada di Lembah Klang.

“Justeru, dengan mengambil keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan PSM di sepanjang tempoh beberapa hari menjelang Selasa ini bagi memastikan tahap atau keadaan padang Stadium Nasional dapat diminimumkan kerosakannya demi memastikan aksi final dapat berjalan dengan lancar.”