Sepanyol menjulang Piala Dunia Wanita 2023 buat pertama kali dalam sejarah apabila menewaskan 1-0 menentang England dalam perlawanan akhir.
Pertahanan kiri Real Madrid, Olga Carmona muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-29.
England selaku juara Eropah dianggap sebagai pasukan pilihan, setelah menewaskan Sepanyol ketika memenangi Euro 2022 tahun lalu.
Lionesses hampir membuka jaringan pada awal permainan apabila sepakan Lauren Hemp menerjah palang dengan rembatan kaki kiri dari hantaran Rachel Daly.
Sepanyol bertindak balas serta-merta apabila Alba Redondo memaksa penjaga gol Mary Earps menyelamatkan gawang gol dua minit kemudian.
Tetapi selepas Hemp mencipta satu lagi peluang tersasar dengan percubaan lemah dari jarak dekat, Sepanyol mendahului apabila mereka memanfaatkan kesilapan Lucy Bronze yang kehilangan bola di bahagian tengah.
Sepanyol melancarkan serangan balas pantas yang menyaksikan bola menemui Carmona hasil hantaran Mariona Caldentey.
Pemain pertahanan Real Madrid Femenino itu mengawal bola sebelum merembat dengan kaki kiri melepasi Earps ke sudut jauh untuk meletakkan pasukan Jorge Vilda di hadapan.
England bergelut untuk mendominasi permainan, apabila Sepanyol menguasai bola dan La Roja hampir menggandakan jaringan sebelum separuh masa, apabila percubaan Salma Paralluelo terkena tiang pada minit ke-45.
Jurulatih England, Sarina Wiegman melakukan pertukaran pada separuh masa dalam usaha untuk mengubah keputusan dengan menggantikan Alessia Russo dan Daly dengan Chloe Kelly dan Lauren James, namun pertukaran itu tidak memberi kesan apabila Sepanyol terus mengawal permainan.
Sepanyol berpeluang menjaringkan gol kedua apabila bola terkena tangan Keira Walsh sekali gus menghadiahkan penalti kepada Sepanyol berikutan semakan VAR.
Pemain veteran, Jenni Hermoso bagaimanapun gagal menjaringkan gol dari sepakan penalti selepas Earps berjaya menyelamatkan sepakan penalti penyerang Sepanyol itu.
Walaupun diselamatkan oleh penjaga gol mereka, England tetap gagal mencari jalan untuk kembali dengan gol penyamaan.
Sepanyol bertahan sehingga tamat perlawanan untuk memenangi perlawanan dan menjulang Piala Dunia Wanita 2023.
Ini sekali gus menyaksikan Sepanyol menyapu bersih semua piala yang dipertandingkan FIFA apabila menjuarai Piala Dunia Wanita B17 dan Piala Dunia Wanita B20 tahun lalu.