Pemain tengah Kuala Lumpur City, Akram Mahinan tampil menjelaskan pasukannya akan mengutamakan ibadah solat sebelum beraksi dalam separuh masa kedua final Piala AFC di Bukit Jalil, Sabtu ini.
Ini selepas sepak mula pukul 7 malam yang ditetapkan oleh AFC mengundang kontroversi kerana ia diadakan ketika masuknya waktu Maghrib.
“Saya dan pemain lain nak solat ke apa, mungkin ramai orang pertikai,” kata Akram kepada Berita Harian.
“Tetapi benda ini memang tak boleh nak ubah, jadi macam kami sebagai pemain kena uruskan masa, habis masa pertama terus lari (pergi solat).
“Kalau kita nak bantah benda itu pun tak boleh sebab ia sudah ditetapkan. Kami sebagai pemain kena solat terus lepas habis masa pertama dan kalau jurulatih nak bagi penerangan kepada pemain pun kena bagi pada yang ada dulu.”
Bagaimanapun, Akram menasihatkan para peminat supaya turut sama mengutamakan kewajipan solat.
“Pemain yang beragama Islam solat dahulu dan kami sudah bincang benda ini.
“Saya harap penyokong semua kekalkan sokongan, solat dulu baru tengok bola, tiada masalah sebab benda itu lagi penting.”