Jurulatih negara, Kim Pan-gon akan menilai semula prestasi keseluruhan barisan pemain yang beraksi di Piala Raja Thailand 2022.
Penilaian itu dibuat sebelum menghadapi Piala AFF yang akan berlangsung pada Disember ini.
“Kami telah melakukan yang terbaik,” kata Pan-gon selepas perlawanan.
“Dan kami akan menilai kem ini sebelum membuat persiapan menghadapi Piala AFF 2022.”
Beliau turut memuji prestasi pemain yang berjaya mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan Tajikistan walaupun tewas dalam penentuan sepakan penalti.
“Kami telah menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana Tajikistan, menduduki ranking ke-109 dunia adalah pasukan yang sangat fizikal dan kuat.
“Tetapi saya amat berbangga dengan sikap dan semangat pemain Harimau Malaya. Tiada penyesalan.”
Pan-gon mengakui cuaca hujan lebat turun pada separuh masa pertama menggoyahkan prestasi negara pada perlawanan akhir.
Beliau tidak mahu menamatkan perlawanan menerusi sepakan penalti dan percaya skuad negara boleh bermain dengan lebih baik sekiranya tiada hujan.
Beliau juga berharap Malaysia bersedia untuk bersaing dengan pasukan yang berada di kedudukan 110 ke atas dalam tempoh dua tahun akan datang.