Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sekali lagi mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai bola sepak negara di Kuala Lumpur hari ini.
Pertemuan itu dibuat beberapa jam selepas Johor Darul Ta’zim menjulang Piala FA 2022 selepas menewaskan Terengganu 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus meraih trofi ke-20 dalam sejarah.
Namun, di sebalik kesibukannya, TMJ sudi meluangkan masanya bersama Tengku Amir sebelum berangkat pulang ke Johor Bahru.
“Kedua-dua kelab saling berkongsi idea berkaitan cara untuk menambah baik liga Malaysia, pembangunan belia dan bola sepak secara keseluruhan,” menurut Johor Southern Tigers.
“Tujuan perjumpaan ini juga adalah untuk mengeratkan hubungan antara Johor dan Selangor.“
Ini bukan kali pertama TMJ dan Tengku Amir bersemuka malah pernah mengadakan perbincangan beberapa kali sebelum ini.
Kedua-duanya mula mengadakan pertemuan sejak Tengku Amir terlibat dengan pengurusan pasukan Selangor pada 2017.
Walaupun peminat JDT dan Selangor tidak boleh bertentang mata, TMJ dan Raja Muda Selangor sering bertemu sekali gus menunjukkan hubungan yang akrab antara kedua-dua anak raja tersebut.