Piala FA Berita

JDT juara Piala FA 2022, cipta sejarah julang piala ke-20

Johor Darul Ta’zim muncul juara Piala FA 2022 apabila menewaskan Terengganu 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan JDT meraih piala ke-20 sejak pasukan itu dibentuk di bawah kendalian Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun bergelut untuk menguasai permainan pada separuh masa pertama apabila masing-masing gagal menemui rentak permainan.

Terengganu meraih peluang awal menerusi Kipre Tchetche namun berjaya dihalang oleh Farizal Marlias.

JDT sebaliknya meraih gol pendahuluan apabila rembatan Arif Aiman membuka tirai jaringan pada minit ke-34.

Pasukan Harimau Selatan terus menguasai permainan di separuh masa kedua.

JDT menambah gol kedua menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Bergson pada minit ke-62 hasil kekasaran yang dilakukan oleh penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.

Terengganu berjaya merapatkan kedudukan menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-75 apabila rembatannya menghala ke arah muka Farizal Marlias sebelum bola itu terpantul masuk ke gawang gol.

Namun, 3 minit kemudian, Bergson menambah gol ketiga buat JDT apabila mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan Terengganu.

Terengganu cuba untuk merapatkan lagi kedudukan namun keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan.