Pahang meraih kemenangan dramatik apabila menewaskan Pulau Pinang 3-2 dalam saingan Liga Super di Georgetown malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan Pahang kini mengharungi 5 perlawanan tanpa kekalahan sejak Dollah Salleh kembali mengambil alih pasukan itu sebagai ketua jurulatih pada hujung bulan lalu.
Pahang mendahului menerusi Steven Rodriguez yang menjaringkan gol, seminit sebelum tamat separuh masa pertama.
Pulau Pinang bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Rafael Vitor pada minit ke-65.
Pahang kembali di depan apabila Rodriguez berjaya menyudahkan hantaran jarak jauh Azam Azih, menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-74.
Pahang semakin selesa apabila meraih gol ketiga yang dijaringkan oleh David Rowley menerusi tandukan, hasil sepakan percuma Manuel Hidalgo pada minit ke-80.
Namun, Azam yang cuba membuat hantaran ke arah gawang golnya sendiri dipintas oleh Lucas Silva dan berjaya melepasi penjaga gol Pahang, Mamadou Samassa sebelum merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-84.
Pulau Pinang cuba mencari gol penyamaan namun keputusan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan.
Pahang kini di tangga ke-5 liga apabila meraih 21 mata daripada 16 perlawanan.
Pulau Pinang pula mencatatkan kekalahan ke-6 berturut-turut dan kekal di tangga tercorot liga dengan 7 mata daripada 16 perlawanan.
📹 HIGHLIGHTS: @penang_fc 2-3 @OfficialPahang
Sri Pahang meraih kemenangan penting hasil dua gol Steven Rodriguez dan jaringan David Rowley, manakala Penang membalas menerusi Rafael Vitor dan Lucas Silva.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/yz5H7TqTSM
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 18, 2022
Di Cheras, Kuala Lumpur City meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan.
Kemenangan itu sekali gus menyekat kemaraan Negeri Sembilan yang meraih empat kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Gol tunggal KL dijaringkan oleh Paulo Josue pada masa tambahan separuh masa pertama.
KL kini di tangga ke-6 liga dengan 21 mata daripada 15 perlawanan.
Negeri Sembilan kekal di tangga ke-3 liga dengan 32 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.
📹 HIGHLIGHTS: @klcityfootball 1-0 @nsfc1923
Gol Paulo Josue pada minit ke-45+1' memisahan KL City FC dan Negeri Sembilan FC di Cheras.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/pi6P7cErCl
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 18, 2022