Berita AFC Champions League

JDT dibelasah Urawa Red Diamonds, tersingkir daripada ACL2022

Johor Darul Ta’zim tersingkir daripada pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia setelah tewas 5-0 kepada Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama di Jepun malam ini.

Malah, JDT bolos tiga kali di separuh masa pertama, dengan dua daripadanya hasil daripada kesilapan pertahanan.

JDT ketinggalan seawal minit ke-8 apabila Alexander Scholz menyempurnakan sepakan penalti selepas Farizal Marlias yang cuba mengeluarkan bola sebaliknya tangannya terkena kepada kepala Yusuke Matsuo.

JDT bolos kali kedua 10 minit kemudian apabila sepakan percuma David Moberg Karlsson menerjah ke arah tiang gol sebelum masuk ke gawang, sekali gus menewaskan Farizal.

Karlsson sekali lagi menghantui JDT apabila menjaringkan gol ke-3 buat Urawa setelah menyudahkan hantaran Yoshio Koizumi pada minit ke-38.

Walaupun cuba bangkit di separuh masa kedua, JDT sebaliknya dibolosi dua kali dalam 10 minit terakhir perlawanan.

Farizal dibolosi buat kali ke-4 apabila Kasper Junker menyudahkan hantaran Ataru Esaka pada minit ke-83.

Junker melengkapkan kemenangan Urawa apabila menyudahkan Takahiro Akimoto pada minit ke-91.

Keputusan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan.