Perlawanan kedua pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 berakhir dengan kekecewaan apabila Malaysia tewas 2-1 kepada Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Skuad kebangsaan bagaimanapun menguasai perlawanan sejak awal separuh masa pertama, memaksa Bahrain bertahan sehingga ke waktu rehat.
Malaysia meneruskan penguasaan di awal separuh masa kedua dan tekanan demi tekanan akhirnya berhasil apabila gerakan Akhyar Rashid memberi ruang kepada Khuzaimi Piee membuat larian ke hadapan sebelum hantarannya disudahkan oleh Mohamadou Sumareh pada minit ke-55.
Namun, kedudukan 1-0 itu hanya bertahan selama 3 minit apabila Bahrain menjaringkan gol penyamaan menerusi Ali Haram.
Dengan perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Farizal Marlias menjatuhkan pemain pihak lawan dalam kotak penalti sekali gus Bahrain dihadiahkan sepakan penalti.
Abdulla Yusuf mudah menyudahkan sepakan penalti, menjadikan kedudukan 2-1.
Malaysia cuba menjaringkan gol penyamaan di minit-minit akhir perlawanan, namun keputusan kekal hingga wisel penamat.
Skuad kebangsaan kekal di tempat ke-2 dalam Kumpulan E dengan 3 mata, di belakang Bahrain yang meraih 6 mata, Turkmenistan 3 mata dan Bangladesh yang belum meraih sebarang mata.
Malaysia akan bertemu Bangladesh pada Selasa, 14 Jun 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Statistik Malaysia
Penguasaan 49 peratus
Percubaan 11
Percubaan tepat 6
Penjuru 5
17 Faul
Kad kuning 0
Kad merah 0