Mohamed Salah mengesahkan bahawa beliau akan terus kekal bersama Liverpool musim depan, sekali gus tidak akan berhijrah pada musim panas ini.
Ini meskipun kontrak penjaring terbanyak Premier League itu akan berakhir pada penghujung Jun 2023 dan masih belum menandatangani sebarang kontrak baharu.
“Saya hanya fokus kepada pasukan dan tidak mahu bercakap mengenai kontrak,” kata Salah pada sidang media Liga Juara-Juara Eropah.
“Tetapi saya akan kekal di Liverpool musim depan, itu sudah pasti.
“Dalam minda saya, saya tidak fokus mengenai kontrak pada masa ini. Saya tidak mahu mementingkan diri sendiri.
“Saya sudah katakan dua bulan lalu, semuanya mengenai pasukan sekarang. Ia adalah minggu yang sangat penting untuk kami, jadi saya hanya fokus kepada pasukan. Saya mahu memenangi Liga Juara-Juara sekali lagi.”
Menjelang tiga hari sahaja lagi sebelum perlawanan akhir, Salah mengakui beliau tidak sabar untuk kembali berdepan dengan Real Madrid, empat tahun selepas ‘dicederakan’ oleh Sergio Ramos di final sehingga terpaksa dikeluarkan, yang menyaksikan Liverpool tewas 3-1 ketika itu.
“Saya sangat bermotivasi,” kata Salah.
“Saya bermotivasi tinggi, terutamanya selepas apa yang berlaku sebelum ini dan apa yang berlaku pada hari Ahad (dalam Premier League), semua orang bermotivasi untuk memenangi Liga Juara-Juara.
“Keluar selepas 30 minit kali terakhir (menentang Real Madrid) adalah saat terburuk dalam karier saya.”
Dalam pada itu, rakan seperjuangannya, Sadio Mane hanya akan mengumumkan statusnya selepas selesai perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah, memandangkan kontraknya juga akan berakhir pada 2023.
“Persoalan ini, saya akan jawab selepas Liga Juara-Juara,” katanya kepada Sky Sports pada hari Rabu.
“Sama ada saya kekal atau tidak, saya akan jawab selepas Liga Juara-Juara.”
Walaupun dibelenggu dengan isu mengenai kontrak pemainnya, Jurgen Klopp menyifatkan masa depan pemainnya tidak akan memberi kesan kepada fokus pasukan menjelang perlawanan akhir ini.
“Adakah jika kami menang maka mereka mahu pergi? Kami sedang berbincang dengan semua pemain,” kata Klopp dalam sidang media.
“Tetapi tidak (ia tidak menjejaskan pemain), sekarang bukan masanya.
“Kadang-kadang pemain mempunyai idea tertentu, kami mempunyai idea lain, kadang-kadang mereka tidak selari tetapi kami bekerjasama, kami telah mengenali antara satu sama lain sejak sekali lama. Semuanya baik-baik sahaja.
“Semuanya jelas, tiada seorang pun daripada mereka yang menunggu (isu kontrak) untuk mengetahui apa yang kami mahu lakukan.”
Klopp juga mengesahkan bahawa Thiago mempunyai peluang cerah untuk beraksi di final walaupun mengalami kecederaan dalam perlawanan terakhir Premier League menentang Wolves tempoh hari.