Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama musim ini apabila dibelasah 5-0 oleh Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2022 malam tadi.
Ini sekali gus menamatkan kecemerlangan JDT yang mengharungi tiga perlawanan tanpa kekalahan selepas menewaskan Guangzhou FC (5-0), menang ke atas Ulsan Hyundai (2-1) dan seri 0-0 berdepan Kawasaki sebelum ini.
Kawasaki menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-14 menerusi sepakan percuma yang disempurnakan pemain tengah Yasuto Wakizaka.
Penyerang Kawasaki, Yu Kobayashi menambah gol kedua pada minit ke-31 dan gol ketiga dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Skuad kendalian Benjamin Mora cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan, namun gagal memanfaatkan peluang terhidang apabila tendangan Shane Lowry sekadar melepasi palang pada minit ke-65.
Ketika perlawanan tinggal 10 minit sahaja lagi, Kawasaki meraih gol keempat menerusi jaringan Marcio Barbosa pada minit ke-81 sebelum Chanathip Songkrasin melengkapkan kemenangan Kawasaki pada minit ke-88.
Kawasaki kini menghuni mendahului Kumpulan I dengan 8 mata, manakala JDT berkongsi mata dengan Ulsan dengan 7 mata, namun dipisahkan dengan perbezaan gol, kelab Korea Selatan itu menewaskan Guangzhou 5-0 di Larkin.
JDT akan berdepan Guangzhou pada Rabu, 27 April ini sebelum bertemu Ulsan pada Sabtu, 30 April ini.