Liga Premier Malaysia Berita

Perak, UiTM lengkapkan pendaftaran pemain, namun tanpa pemain baharu

Perak dan UiTM dapat terus bersaing dalam Liga Malaysia musim 2022 selepas masing-masing melengkapkan proses pendaftaran pemain pada hari akhir pendaftaran (22 Februari).

Bagaimanapun, pendaftaran itu tidak melibatkan pemain baharu, setelah FIFA masih belum menarik balik sekatan perpindahan terhadap Perak yang didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta.

Ini bermakna, Perak terpaksa mengharungi pusingan pertama liga tanpa pemain baharunya, antaranya Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya.

“Tiada pemain baharu,” menurut MFL seperti dilaporkan Bernama.

“Mengenai status ketiga-tiga pemain itu, lebih wajar Perak memberi penjelasan.”

Menurut MFL, Perak telah mendaftarkan jumlah minimum ditetapkan iaitu 20 pemain manakala UiTM FC mendaftarkan 25 pemain.

“Sehingga 12 malam tadi (semalam) MFL menerima 20 pendaftaran Perak dan 25 pendaftaran dari UiTM FC dan pada masa ini semakan dokumen sedang dilakukan sekretariat MFL.”

20 pemain didaftarkan Perak terdiri daripada pemain skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia musim lalu.

Perak akan beraksi dalam perlawanan pembukaan Liga Premier menentang Kelantan United di Ipoh, Sabtu ini manakala UiTM akan bertemu Terengganu II.