Tan Sri Annuar Musa membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden KL City, setelah setahun memegang jawatan itu.
Katanya, hasratnya itu telah disampaikan secara lisan sebelum menyerahkan notis peletakan jawatan bagi memuktamadkan keputusannya itu.
Beliau sebelum ini dilantik atas kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia pada Ogos 2021.
“Sejak berada di Kementerian Komunikasi, banyak perkara saya nak buat (bersama KL City),” katanya kepada Bernama.
“Tapi tak dapat kerana kekangan masa. Jadi eloklah KL City FC pun sedang meningkat, elok ada seseorang yang dapat memberikan bimbingan seterusnya kerana KL City FC mempunyai potensi sangat besar.
“Kita perlu berlaku adil, kita tak boleh nak bergayut pada jawatan kalau kita rasakan kita ada kekurangan atau jangkakan ada orang lain yang boleh buat lebih baik, jadi saya dah buat setakat saya mampu.”
Di bawah naungan Annuar, KL City FC menamatkan saingan di tempat keenam dalam Liga Super serta mencipta sejarah apabila menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 sekali gus mengesahkan tempat ke saingan Piala AFC 2022.
Ketika ini, operasi harian KL City diterajui oleh CEO, Stanley Bernard.
Kemungkinan besar, Shahidan Kassim selaku Menteri Wilayah ketika ini akan dilantik sebagai presiden baharu.
Manakala, Khalid Samad kekal sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
KL City akan beraksi dalam Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.