FAM sedang mempertimbangkan 10 calon penolong jurulatih tempatan yang akan membantu ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, Pan-gon sendiri menyatakan hasrat beliau untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih tempatan bagi membantunya.
“Pan-gon ada minta FAM calonkan seseorang kerana dia memang nak seorang jurulatih tempatan,” katanya kepada Bernama.
“FAM tidak mempunyai masalah menyediakannya, kita akan cari yang sesuai. Proses itu akan dikendalikan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell dan beliau juga akan menyediakan nama-nama tersebut.”
Katanya, seorang jurulatih bola sepak tempatan yang mempunyai ‘nama besar’ antara individu yang berminat.
“Memang ada beberapa calon yang minat untuk jadi pembantu ketua jurulatih.
“Selain nama besar, nama kecil, nama panjang dan nama pendek pun ada.
“Perkara itu akan dimuktamadkan bila dia sampai sebab dia perlu berjumpa dan menemu bual calon sama ada memenuhi kriteria diinginkan.
“Tetapi nama-nama berkenaan akan disenarai pendek FAM sebelum kita beri kepada dia. Kemudian terpulang kerana dia adalah ketua jurulatih yang akan membuat keputusan siapa dia nak.”
Minggu lalu, FAM mengumumkan pelantikan Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatannya awal bulan ini.
Pan-gon dijangka tiba awal bulan depan bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.