Malaysia Berita

Selepas lebih 40 tahun di Kelana Jaya, FAM pindah ke pejabat baharu pada 2025

Setelah berpangkalan di Wisma FAM di Kelana Jaya sejak 1980, FAM dijangka memindahkan semua operasi dan tadbir urus ke ibu pejabat baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada awal 2025.

Ini setelah majlis pecah tanah bagi pembinaan ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, Putrajaya ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tengah hari tadi.

Malah, Ismail Sabri selaku wakil kerajaan persekutuan menyumbang RM10 juta bagi membantu FAM menstabilkan semula industri bola sepak negara yang masih terkesan dengan impak COVID-19.

Bangunan baharu FAM ini akan dibina setinggi lima tingkat dan terletak bersebelahan ibu pejabat Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Bandar Bola Sepak Putrajaya.

Ibu pejabat FAM akan dibina di atas tanah seluas 3 ekar, manakala baki 3 ekar dibangunkan oleh pemaju One Lagoon Development Sdn Bhd dengan usahasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membangunkan projek apartmen servis.

Bangunan FAM itu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan pejabat, auditorium, bilik seminar, dewan pemasyhuran, kedai barangan FAM serta gelanggang futsal.

Selain ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, FAM sedang dalam proses untuk membina Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang dikhususkan buat skuad Harimau Malaya di presint yang sama.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, pembinaan pejabat baharu ini adalah satu manifestasi kepada cetusan ilham Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang bercita-cita mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan AFC, AFF dan FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak Asia.

“Apabila Almarhum Tuanku mengambil keputusan tidak meneruskan tampuk kepimpinan FAM pada 2014, saya sedar bahawa bola sepak negara sudah kehilangan seorang tokoh yang benar-benar menjiwai bola sepak, ikon yang sentiasa menjadikan bola sepak sebagai ejen penyatuan dan meletakkan kepentingan dan maruah negara lebih daripada segalanya.

“Atas kesedaran ini dan bersulamkan tanda kasih serta menjunjung jasa Almarhum Tuanku, maka saya mengusulkan kepada FAM membeli tanah yang dimaksudkan dalam perancangan asal Almarhum Tuanku bagi memulakan usaha menjadikan impian Baginda satu realiti.

“Kepimpinan yang diterajui oleh Seri Paduka Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memberi perkenan kepada cadangan tersebut dan seterusnya disokong oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Alhamdulillah, selepas saya diberi mandat untuk memimpin FAM, agenda membangunkan projek ini dijadikan antara sasaran utama bilamana ibu pejabat sedia ada tidak lagi mampu memenuhi tuntutan dan evolusi bola sepak moden.”

FAM asalnya ditubuhkan sebagai Malayan Football Association (MFA) pada 11 September, 1926 dalam satu persidangan di Padang Kelab Selangor dan berpangkalan di Singapura sehingga 1939 ibu pejabat dipindahkan ke Kuala Lumpur pada 1940.

Pada 1961, ibu pejabat FAM setinggi tujuh tingkat di Birch Road yang kini Jalan Maharajalela di Kuala Lumpur dibina dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada 7 Disember oleh Tunku Abdul Rahman yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Namun, pada 1979, FAM berpindah ke bangunan baharu Wisma FAM berharga RM1.87 juta di Sungai Way-Subang yang kini dikenali sebagai Kelana Jaya.