Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob meminta FAM supaya mencontohi pasukan kesayangannya Chelsea dalam usaha memperkasakan pembangunan bola sepak Malaysia.
Katanya, pasukan Premier League itu mempunyai pembangunan peringkat akar umbi yang cukup sistematik.
“Dengan kemahiran teknikal hasil bimbingan-bimbingan jurulatih yang hebat ia sekaligus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa.
“Saya ingin beri contoh. Contohnya pasukan Chelsea” Ismail Sabri tersenyum.
“Bukan kerana saya penyokong Chelsea ya. Ini contoh.
“Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England. Ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris ini cukup lengkap.
“Akademi mereka mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda sembilan tahun hingga 23 tahun, satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa.
“Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu.
“Ini yang patut dicontohi kelab-kelab bola sepak di negara ini.”
Pada masa sama, Ismail Sabri juga meminta skuad kebangsaan mencontohi pasukan Vietnam.
“Pada 2006, pasukan Vietnam menduduki tangga ke-172 dunia dan kini mereka jadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.
“Apa yang membezakan Malaysia dengan Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bolasepak Malaysia di peringkat awal.”