Malaysia Berita

Shebby Singh meninggal dunia

Arena bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pemergian Shebby Singh yang disahkan meninggal dunia pada usia 61 tahun.

Shebby atau nama sebenarnya Serbegeth Singh difahamkan meninggal dunia petang tadi selepas terkena serangan jantung ketika sedang berbasikal.

Mendiang Shebby meninggalkan bekas isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh.

Beliau memulakan karier bolasepaknya sebagai pemain pertahanan pasukan Johor pada 1978.

Bakatnya dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Pada 1983, mendiang S. Subramaniam yang merupakan legenda jurulatih Kuala Lumpur memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah ke ibu negara, satu tindakan yang mengundang kontroversi apabila Shebby digantung setahun atas alasan berpindah tanpa kebenaran.

Namun, sejak berhijrah, Shebby menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak KL yang bersejarah apabila memenangi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut iaitu pada 1987, 1988 dan 1989.

Beliau turut menjadi sebahagian daripada pasukan juara liga pada 1986, 1987, 1988 dan 1989.

Beliau kemudian berpindah ke Pahang pada 1991, sebelum kembali ke KL dengan bergaya apabila memenangi Piala FA pada 1993 dan 1994.

Mendiang kemudian berhijrah ke Negeri Sembilan pada 1995 sebelum menamatkan kariernya dengan Perak pada 1996.

Di peringkat antarabangsa, beliau mula menyarung jersi negara dalam Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 penampilan termasuk Sukan Asia 1982, 1986 dan 1990 sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang tempoh itu, beliau membantu skuad negara mengutip pingat gangsa pada Sukan SEA 1985 dan emas Sukan SEA pada 1989 di Kuala Lumpur.

Selepas karier sebagai pemain, Shebby mula tampil popular apabila menjadi penasihat pasukan MyTeam, pasukan yang dibentuk menerusi program realiti TV pada 2006.

Beliau kemudian menjadi penasihat dan juga jurulatih sementara untuk pasukan Melaka TMFC pada 2007.

Shebby juga pernah dilantik sebagai penasihat global pasukan bola sepak Inggeris, Blackburn Rovers pada 2012.

Bagaimanapun, Shebby cukup dikenali dalam kalangan peminat sebagai seorang individu yang lantang bersuara dan berani mengkritik mana-mana pihak setiap kali mengulas mengenai isu bola sepak.