Piala FA Malaysia Berita

Sejarah baharu dalam bola sepak Malaysia

Final Shopee Piala FA 2019 melakar sejarah baharu apabila perlawanan yang menemukan Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu diiktiraf sebagai pemegang Malaysia Book of Records bagi ‘penyertaan Viking Clap terbesar di Malaysia’.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong Hong Wai mengesahkan rekod tersebut selepas beliau antara menjadi panel menyaksikan 83,520 penonton melakukan aktiviti itu sebelum 15 minit sepak mula final Shopee Piala FA 2019.

Tanpa berselindung, Hong Wai memuji komitmen penyokong dari Kedah dan Perak di atas kejayaan mereka melakarkan satu sejarah baharu dalam Malaysia Books of Records.

“Hari ini (semalam) selepas mendapat pengesahan daripada pelbagai agensi, Malaysian Book of Records dapat mengesahkan penyertaan Viking Clap dalam aksi final Shopee Piala FA 2019 adalah paling terbesar di Malaysia.

“Satu semangat kesukanan bagus yang ditunjukkan daripada penyokong kedua-dua pasukan. Saya dapat melihat kepuasan penyokong yang hadir pada malam ini,” ujarnya.

Dalam aksi final semalam, Kedah dinobatkan sebagai juara baharu Shopee Piala FA selepas menewaskan Perak hasil jaringan tunggal pemain muda, Fazrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105.

Sementara itu, Hong Wai mengakui beliau berharap rekod-rekod baharu akan dicipta atau diiktiraf oleh pihak mereka dalam acara sukan bola sepak yang sentiasa menjadi tumpuan No. 1 dalam rakyat Malaysia.

“Sudah pasti di pihak kami akan sentiasa menantikan-nantikan acara bola sepak melakukan kejutan dalam mencipta rekod.

“Sebelum ini Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan pertama yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records selepas memenangi Liga Super enam kali berturut-turut dan malam ini (semalam) satu lagi rekod baharu (Viking Clap) tercipta di sini.

“Saya percaya sukan bola sepak yang sentiasa menjadi perhatian daripada rakyat Malaysia akan terus melahirkan rekod-rekod berlainan dalam Malaysia Book of Records pada masa akan datang,” ujarnya