Malaysia Berita

Pengarah teknikal baharu FAM: Skuad Harimau Malaya perlu dibimbing jurulatih asing

Pengarah teknikal baharu FAM, Scott O’Donell mencadangkan kepada pengurusan FAM supaya melantik seorang jurulatih asing bagi mengemudi skuad kebangsaan Malaysia.

Ini setelah Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih, baru-baru ini susulan kegagalan Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki 2020.

“Saya melihat bahawa skuad Harimau Malaya selepas ini perlu dibimbing oleh jurulatih asing,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM hari ini.

“Ini bagi mengubah landskap dan masa depan bola sepak Malaysia ke satu dimensi baharu, bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang.”

O’Donell berkata demikian setelah diperkenalkan secara rasmi sebagai pengarah teknikal FAM yang baharu.

Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Ong Kim Swee yang telah meletak jawatan tersebut pada 10 September 2021.

O’Donell, 55, merupakan individu yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan kejurulatihan termasuk pernah memegang pelbagai jawatan sebagai pengarah teknikal, ketua jurulatih dan juga seorang bekas pemain.

Sebagai pemain, O’Donell pernah beraksi sebagai pemain import Kuala Lumpur pada 1994 dan beraksi di Liga Singapura bersama Tampines Rovers pada 1996 hingga 1997 dan 1999 serta Marine Castle United FC pada 1998.

Dalam bidang kejurulatihan pasukan, O’Donell pernah menjadi ketua jurulatih kelab Liga Singapura, Geylang United dari 2003 hingga 2005 dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja dari 2005 hingga 2007 dan 2009 hingga 2010.

Jawatan terakhir O’Donell ialah sebagai Pengarah Teknikal di Capital Football (Persekutuan Bolasepak Australian Capital Territory) iaitu sejak Februari 2017 hingga Disember 2021 yang mana sebelum itu iaitu dari 2015 hingga 2017, beliau merupakan Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF).

Kata O’Donell, beliau akan meneruskan kesinambungan dan memperkasakan lagi F:30 yang telah dilancarkan pada 31 Oktober 2018 yang merupakan peta hala tuju atau roadmap FAM bagi tempoh 12 tahun.

“Peta hala tuju F:30 ialah pelan strategi untuk 2019 hingga 2030, namun pandemik COVID-19 telah menjejaskan perancangan ini. Peta hala tuju ini sememangnya pelan yang bagus tetapi ia boleh dikembangkan mengikutkan peredaran dan kesesuaian masa.

“Tidak semestinya ia hanya tertumpu kepada apa yang kita ingin capai dalam membangunkan bola sepak negara iaitu pasukan kebangsaan yang berprofil tinggi tetapi ia juga meliputi pembangunan akar umbi, belia, pendidikan jurulatih, bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai, yang mana kesemua itu juga penting.”