Liga Super Malaysia Berita

Abang Anthony Martial sah sertai Pahang

Johan Martial sah akan menyertai Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu merupakan abang kepada penyerang Manchester United, Anthony Martial.

Johan dalam perjalanan ke Malaysia bagi menyertai sesi latihan skuad Tok Gajah yang akan bermula tidak lama lagi.

“Saya sahkan bahawa pemain berasal dari Perancis ini dalam perjalanan ke negara ini untuk bersama Sri Pahang musim 2022,” lapor sumber kepada Berita Harian.

“Buat masa ini hanya itu yang boleh saya maklumkan termasuk kehadiran pemain import lain yang bakal menyertai kelab ini.

“Saya harap peminat bola sepak Sri Pahang bersabar kerana pengumuman rasmi pemain Sri Pahang musim 2022 akan dimaklumkan dalam masa terdekat.”

Johan memulakan karier profesional bersama kelab Ligue 1, Bastia pada 2009 hingga 2011.

Beliau kemudian menyertai Brest dan kekal bersama kelab itu selama 5 tahun.

Pemain yang berasal dari Perancis itu kemudian berpindah ke Troyes pada 2015 hingga 2017.

Beliau kemudian berhijrah ke Liga Israel dengan menyertai Maccabi Petah Tikva pada 2017 dan Ashdod pada 2019.

Setahun kemudian, beliau berhijrah ke Greece dengan menyertai Panetolikos sebelum kembali ke Perancis dengan menyertai Sochaux.