Liga Super Malaysia Berita

Kedah langsaikan tunggakan gaji dua bulan

Pengurusan pasukan Kedah akhirnya melangsaikan tunggakan gaji pemain selama dua bulan.

Pembayaran itu dibuat sehari sebelum Kedah berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2021.

Menurut laporan Utusan, pembayaran tersebut dibuat pada petang semalam dan malam tadi.

“Ini sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh para pemain,” kata sumber Utusan.

“Sebelum ini masing-masing seakan tertanya-tanya mengenai gaji masing-masing.

“Diharap langkah tersebut sedikit sebanyak mampu menambah motivasi pemain bagi memberikan yang terbaik malam esok.”

Kedah merupakan antara pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji yang didedahkan sejak awal tahun lalu, ketika semua pasukan Liga Malaysia melalui proses penswastaan kelab.

Setakat ini, MFL mengesahkan Kedah masih mempunyai tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM10 juta, namun tunggakan itu akan dirunding dengan LHDN.