Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh mengakui bimbang pasukannya masih tidak mempunyai pemilik.
Ini kerana syarat pelesenan kelab dan penswastaan kelab MFL hanya memberikan tempoh sehingga 2023 kepada setiap pasukan untuk tidak lagi terikat sepenuhnya dengan persatuan bola sepak negeri.
Namun setakat ini Perak FC masih lagi milik sepenuhnya Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) namun Azman berkata, masih tiada usaha daripada persatuan berkenaan untuk mencari pihak yang mampu memegang sekurang-kurangnya 50 peratus pemilikan kelab.
“Musim depan masih boleh (bersaing lagi),” katanya kepada Astro Arena.
“Syaratnya adalah 50 peratus pemilikan, jadi pada saya, kami masih boleh meneruskannya.
“Tetapi pada 2023, syaratnya adalah 100 peratus bukan milik PAFA, jadi agak sukar untuk saya menjangkakannya.
“Kemungkinan besar pada ketika itu kami tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan Liga Super kerana tidak memenuhi syaratnya.
“Saya yakin ini adalah risiko terbesar yang akan Perak FC hadapi pada 2023.”
Wakil syarikat Kopa Group, Farouk Hashim mendedahkan pihaknya membuat keputusan untuk menghentikan rundingan dengan PAFA berhubung hasrat syarikat berkenaan untuk mengambil alih 51 peratus pegangan saham Perak FC.
Ini kerana katanya, pihak PAFA mengemukakan ‘cadangan tambahan’ daripada persetujuan awal dan ia termasuk tambahan wang token kepada PAFA, selain berlaku perubahan liabiliti yang lebih tinggi dari jumlah sebelum ini.
“Pada 12 September 2021, pihak KOPA melalui anak syarikatnya secara rasmi menghantar surat tunjuk minat kepada PAFA dan disertakan dengan bukti kemampuan kewangan,” katanya menerusi akaun Twitternya.
“Kemudian pada 17 September 2021, pihak KOPA menghantar surat susulan untuk proses mengambil alih dengan memohon kebenaran untuk melakukan proses ‘due diligence’ dan selanjutnya.
“Malah, pihak KOPA juga telah memberikan ‘komitmen’ awalan dalam bentuk tunai kepada pihak Perak FC dalam membantu operasi pasukan. Pada 12 Oktober 2021, telah berlaku pertukaran Setiausaha PAFA yang baharu, oleh itu satu perbincangan telah diadakan untuk meneruskan proses pengambilalihan ini.
“Pihak KOPA mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan sehingga masa yang lebih sesuai, malah sehingga kini pihak PAFA masih belum menyatakan nilai dan liabiliti Perak FC yang lebih jelas.”
Sebelum ini Perak FC mengesahkan syarikat Kopa Arena yang terlibat dalam pengurusan sukan bola sepak termasuk aspek latihan dan padang berminat untuk menaja The Bos Gaurus bagi mengharungi saingan Liga Premier 2022.