Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan Cristiano Ronaldo sebagai antara penjaring gol terbaik dan membandingkannya dengan legenda bola keranjang, Michael Jordan.
Ini selepas Ronaldo menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memperoleh satu mata, menjadikan keputusan 2-2 terikat dengan Atalanta di Bergamo, Itali dalam Liga Juara-Juara Eropah.
“Beliau pemain luar biasa dan jika ada sesiapa yang mahu bola ada pada saat-saat akhir itu adalah Ronaldo,” kata Solskjaer.
“Beliau adalah penjaring gol terbaik dan sukar bagi saya untuk mengatakannya kerana dia sudah melepasi rekod saya dengan jaringan dua gol, kini dia mempunyai satu lagi gol untuk Manchester United.
“Gol terakhir itu, itu pasti saat-saat Michael Jordan apabila dia memenangi kejuaraan NBA dalam masa tambahan.”
Bagaimanapun, Ronaldo menyifatkan United “bernasib baik” mendapat keputusan seri itu.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, saya tahu apabila kami bermain di Bergamo ia sentiasa sukar, tetapi kami percaya sehingga akhir dan saya sangat gembira,” kata Ronaldo kepada BT Sport.
“Kami tidak pernah berputus asa, kami percaya sehingga saat akhir, ia adalah keputusan yang baik untuk kami. Kami sedikit bertuah pada akhirnya tetapi itulah bola sepak.
“Kami perlu meningkatkan prestasi, kami mempunyai pemain berbeza, sistem berbeza, kami perlu menyesuaikan diri antara satu sama lain, tetapi ia akan mengambil masa; kami mempunyai masa untuk memperbaiki dan menjadi lebih baik.”
Man United ketinggalan seawal minit ke-12 menerusi jaringan Josip Ilicic, namun Ronaldo menyamakan kedudukan di hujung separuh masa pertama.
Atalanta kembali di depan menerusi jaringan Duvan Zapata pada minit ke-56, namun hasrat untuk meraih tiga mata tidak kesampaian apabila Ronaldo merembat masuk gol dari luar kotak penalti.
“Cristiano pemain yang sungguh luar biasa, beliau pemain yang mengambil peluang dan di saat yang sukar.
“Inilah bola sepak, tiada siapa boleh mempersoalkan watak pemain-pemain ini, kerana mereka tidak pernah berputus asa dan mengalah, mereka teruskan.“