Premier League Berita

Man United dibelasah Liverpool di Old Trafford, Salah jaringkan hatrik

Mohamed Salah menjadi igauan buat Man United apabila menjaringkan hatrik sekali gus membantu Liverpool melakar kemenangan menakjubkan 5-0 di Old Trafford.

Dalam tempoh 20 minit pertama, United ketinggalan seawal minit kelima apabila gerakan pantas bahagian serangan Liverpool yang disudahkan oleh Naby Keita, hasil hantaran Salah.

Lapan minit kemudian, hantaran silang Trent Alexander-Arnold disudahkan oleh Diogo Jota, setelah berlaku pertembungan antara Harry Maguire dan Luke Shaw yang menyebabkan United kehilangan bola kepada Liverpool.

Liverpool menambah gol ketiga menerusi Salah, yang menyudahkan hantaran Keita pada minit ke-38.

Cristiano Ronaldo mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun sebelum separuh masa pertama berakhir, dia dilayangkan kad kuning kerana tendangannya seolah-olah terkena badan Curtis Jones, namun begitu ulang tayang menunjukkan tendangannya hanya menyentuh bola.

Fred juga dilayangkan kad kuning setelah cuba merampas bola, tetapi kedudukan kakinya terlalu tinggi dan terkena kepada kepala Keita.

Dengan United yang hanya menunggu separuh masa pertama berakhir, mereka sekali lagi dikejutkan dengan gol Salah, hasil gerakan Roberto Firmino, sebelum Jota mengambil bola daripada Andrew Robertson yang menghantar tepat ke arah Salah yang menjaringkan gol dari sudut sukar, namun berjaya melepasi gawang David De Gea.

Selang lima minit dalam separuh masa kedua, Salah melengkapkan hatrik apabila menyudahkan hantaran jauh kapten Liverpool, Jordan Henderson.

Dua minit kemudian Ronaldo berjaya menjaringkan gol, namun dibatalkan pengadil setelah VAR mendapati Ronaldo berada dalam kedudukan ofsaid.

Paul Pogba dimasukkan pada separuh masa kedua bagi menggantikan Mason Greenwood, namun baru bermain selama 10 minit, dia dilayangkan kad merah setelah melayangkan kedua-dua kakinya ke arah kaki Keita yang akhirnya cedera dan terpaksa digantikan dengan Alex Oxlade-Chamberlain.

United sekali lagi berpeluang untuk menjaringkan gol namun, percubaan Edinson Cavani berjaya dihalang saat-saat akhir oleh Robertson.

Bagaimanapun, sepanjang separuh masa kedua, Liverpool mendominasi seluruh padang, apabila mudah membuat hantaran pendek antara satu sama lain tanpa benar-benar dicabar oleh United, dengan keputusan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan.

“Kami tahu kami dalam keadaan teruk, tiada yang lebih teruk daripada ini,” kata Ole Gunnar Solskjaer selepas perlawanan.

“Saya sudah lama berada di sini (di Man United), kami sudah lama bekerjasama sebagai satu kumpulan. Kami hampir-hampir menyerah kalah sekarang ini.”

Jurgen Klopp pula mengakui tidak menyangka Liverpool dapat menjaringkan gol sebanyak lima kali di Old Trafford.

“Apa yang kami lakukan di bahagian serangan adalah satu kegilaan. Menekan tinggi, memenangi bola, menjaringkan gol yang menarik,” kata Klopp.

“5-0, saya cukup gembira, ia luar biasa. Benar-benar cemerlang.”

Liverpool kini menduduki tangga kedua Premier League dengan 21 mata, hanya beza satu mata di belakang Chelsea, manakala United di tangga ketujuh dengan 14 mata.