Malaysia Berita

Selepas dikritik hebat, Annil mahu buktikan keupayaannya

Annil Vigneswaran mengakui mahu membuktikan kemampuannya dalam Kelayakan Piala Asia Bawah-23 tahun 2022 di Mongolia yang bermula hari ini.

Ini selepas pemain berusia 18 tahun itu disenaraikan oleh Brad Maloney minggu lepas, mengundang kritikan beberapa pihak kerana beliau tidak pernah hadir dalam mana-mana kem latihan sebelum ini.

“Orang lain ada pandangan mereka,” kata Annil kepada NST.

“Saya sepatutnya kembali ke KL Disember lalu untuk kem latihan bawah 19 tahun kebangsaan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana pandemik Covid-19.

“Saya sudah lama berhubung dengan jurulatih dan mereka memantau perkembangan saya.

“Saya tidak fikir ini akan menjadi masalah dengan rakan sepasukan saya.

“Semua orang dalam pasukan adalah pemain yang hebat, dan saya berharap dapat menggunakan beberapa hari untuk menyesuaikan diri dengan sewajarnya.

“Saya baru 18 tahun, dan saya hanya mahu bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk kelab dan negara saya.”

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Maloney yang terus menaruh kepercayaan terhadapnya.

“Perasaannya hebat dan suatu kehormatan dipanggil untuk tugas antarabangsa.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana mempercayai saya dan menawarkan saya peluang untuk membuktikan nilai saya.”

Malaysia akan menentang Laos hari ini sebelum menentang Mongolia pada 28 Okt dan Thailand pada 31 Okt.

Annil juga sempat bermain dengan pasukannya SGV Freiberg dalam pertandingan pra-musim sebelum terbang ke Mongolia.

“Matlamat saya adalah bermain di Eropah. Namun, saya akan sentiasa bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan.”

Annil pernah menyertai akademi bola sepak Little League dan pernah berlatih di kelab Belanda, Ajax Amsterdam ketika berusia 10 tahun.

Beliau kemudiannya menyertai pasukan belia Kuala Lumpur sebelum mendapat tempat dalam pasukan B-19 tahun Freiberg.