Nampaknya Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais tidak memahami mengapa isu tunggakan gaji dua bulan setengah adalah perkara yang besar, seolah-olah menganggap isu tunggakan gaji itu adalah perkara kecil.
Ini setelah dua pemain importnya mengemukakan surat tuntutan berhubung tunggakan gaji selama dua bulan setengah kepada pengurusan pasukan itu.
Peguam yang mewakili dua pemain itu, Zhafri Aminurashid berkata Sarawak diberi peluang untuk melunaskan tunggakan berjumlah ratusan ribu sebelum Jumaat ini, kegagalan berbuat demikian berkemungkinan akan menyaksikan kontrak pemain itu dibatalkan dan isu tersebut akan dibawa ke FIFA.
Bagaimanapun Posa berkata, beliau telah melunaskan tunggakan sebulan gaji dua pemain import, selain turut melunaskan tunggakan hampir sebahagian besar gaji pemain pada minggu ini dengan ada yang akan diselesaikan pada minggu depan.
“Kelmarin saya sudah selesaikan 6 cek,” katanya kepada Berita Harian.
“Kita juga sudah selesaikan untuk mereka yang bergaji kecil. Apa yang pasti kita akan cuba selesaikan tunggakan itu sebelum bermulanya perlawanan Piala Malaysia nanti.
“Kita juga sudah selesaikan tunggakan gaji pemain import, jadi hanya tinggal sebulan setengah lagi. Bagaimana kes ini akan dibawa ke FIFA? Kita juga berikan wang pendahuluan kepada pemain.
“Tunggakan baru dua bulan setengah tetapi riuh sekampung sedangkan ada pasukan lain yang tertunggak lebih lama. Pemain yang lama dengan saya akan faham situasi seperti ini.
“Kenapa dengki sangat dengan Sarawak United? Kalau mahu jatuhkan Sarawak United dengan cara kotor, buruk padahnya nanti.”
Posa juga meminta pemain supaya memahami situasi semasa terutamanya dengan kesan pandemik COVID-19.
“Sepanjang tempoh COVID-19, semua pasukan tidak mampu menjana kewangan daripada jualan tiket kepada penonton. Tetapi kita sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan tunggakan ini.”