Seorang bekas pengurus liga junior bolasepak, Manvir Victor mengakui tidak bersetuju dengan pengambilan pemain naturalisasi.
Ini setelah tiga orang pemain naturalisasi mewakili negara setakat ini iaitu pemain sayap Mohamadou Sumareh, pemain tengah Liridon Krasniqi dan penyerang, Guilherme de Paula.
Namun, selain Sumareh yang sudah membuktikan kemampuan dan sumbangannya terhadap skuad kebangsaan, prestasi pemain naturalisasi lain dikritik hebat terutamanya De Paula setiap kali beliau mewakili negara.
“Saya menolak idea untuk mengambil pemain naturalisasi bermain untuk negara,” kata Manvir ketika muncul dalam rancangan Bola & Chill bersama Ash Futbolita semalam.
“Ini bukan salah mereka (pemain naturalisasi), tetapi dalam situasi ini, kita sebenarnya telah gagal melahirkan pemain kita sendiri, sedangkan ada pemain bagus datang dari negara yang hanya 4 hingga 5 juta populasi tapi kita ada 32 juta orang, negara yang gilakan bola sepak.
“Kalau sukan lain seperti hoki dan kriket, kita boleh lahirkan pemain bagus jadi kenapa kita tidak boleh buat perkara yang sama dengan pembangunan bola sepak?
“Kalau kita ambil pemain naturalisasi, maknanya kita gagal cari Ahmad, Ali dan Muthu yang tengah main di padang ketika ini, kita sememangnya gagal.
“Kalau ada yang dari FAM dan MFL, mengaku sahajalah kita gagal, kita perlu bina sistem untuk cari pemain tempatan.”
Manvir turut berkongsi pengalamannya menganjurkan liga junior pada 2009 hingga 2012, yang akhirnya menjadi penyumbang kepada skuad kebangsaan.
“Masa itu, kita ada 3,000 pemain dengan peringkat umur 12, 14 dan 16 tahun. Liga itu disiarkan di Astro selama tiga musim iaitu tiga tahun ketika itu.
‘Jadi dari 3,000 pemain itu, kita berjaya lahirkan 8 hingga 10 pemain kebangsaan, itu pun sebab mereka beraksi dengan cukup, iaitu peraturan 10,000 jam bermain bola.
“Itulah yang kita perlukan, kita gagal bangunkan pemain sendiri, kalau seseorang itu membesar dan mahu menjadi pemain bola, kenapa kita tak usahakan, kita ada bakat di negara ini.
“Saya orang Malaysia, saya bangga dengan negara ini, walaupun bolasepak tak sebagus mana, kalau nak ambil pemain naturalisasi pun, mereka kena tunjuk apa yang kita perlukan.”