FIFA Berita

FIFA: UAE-Israel mungkin jadi tuan rumah Piala Dunia 2030

Presiden FIFA, Gianni Infantino memberi bayangan bahawa UAE dan Israel akan menjadi tuan rumah secara bersama untuk Piala Dunia edisi 2030.

Ini setelah Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett menyebut tentang kemungkinan untuk membuat bidaan secara rasmi sebelum pemilihan tuan rumah diumumkan pada 2024.

“Anda harus mempunyai visi, impian dan cita-cita,” kata Infantino, menurut kenyataan FIFA, selepas melengkapkan lawatan dua hari ke Israel untuk bertemu Bennett dan Presiden Israel, Isaac Herzog.

“Dalam beberapa bulan sebelum ini, saya berada di Dubai di mana Persatuan Bola Sepak UAE dan Persatuan Bola Sepak Israel telah menandatangani perjanjian bersejarah.

“Saya berpendapat bahawa penganjuran secara bersama adalah masa depan bolasepak, jadi mengapa tidak kita impikannya, sama ada di peringkat remaja atau senior, lelaki atau wanita kerana Piala Dunia mempunyai keajaiban unik dalam menyatukan semua orang.”

Ketika bercakap pada sebuah persidangan yang dianjurkan oleh surat khabar Jerusalem Post, Infantino juga menekankan betapa besarnya komitmen untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia.

“Hari ini, penganjuran Piala Dunia adalah usaha yang sangat besar. Ia lebih daripada sekadar acara sukan.

“Ini adalah acara di mana anda memiliki 3.5 hingga 4 juta tiket terjual, di mana anda mempunyai 1.5 hingga 2 juta orang yang mengunjungi sebuah negara, di mana satu dunia menyaksikannya, dengan 4 juta orang menonton Piala Dunia dan 1.2 juta orang menontont Piala Dunia Wanita. ”

Infantino juga menambah, FIFA ingin menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau Asia Timur Tengah.

Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengesahkan kemungkinan untuk menganjurkan Piala Dunia.

“Presiden FIFA mengemukakan idea bahawa Israel boleh menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun 2030, bersama dengan negara-negara lain di rantau ini, yang diketuai oleh UAE.”

Perjanjian Abraham 2020 menyaksikan beberapa negara Arab, iaitu UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel.

Qatar akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 pada bulan November dan Disember tahun depan.

Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada pula akan menjadi tuan rumah bersama untuk Piala Dunia 2026.