Luis Suarez menambah derita bekas kelabnya Barcelona apabila menjaringkan gol ketika membantu Atletico Madrid meraih kemenangan 2-0 ke atas Catalan.
Suarez mencipta assist kepada Thomas Lemar yang menjaringkan gol pendahuluan, sebelum Lemar mencipta assist untuk Suarez bagi memastikan kemenangan memihak kepada juara bertahan La Liga.
“Saya tahu (meraikan gol) atas rasa hormat, kerana kasih sayang, sebagai peminat Barca, sepanjang tempoh saya di Barcelona, apa yang dilalui bekas rakan sepasukan saya dan peminat juga ketika ini, ia sukar,” kata Suarez selepas perlawanan.
Pemain antarabangsa Uruguay itu, bagaimanapun, memberi isyarat seolah-olah dia membuat panggilan telefon setelah menjaringkan gol.
“Itu supaya orang tahu bahawa saya masih mempunyai nombor yang sama dan akan terus menggunakan nombor itu,” katanya berseloroh, sebelum disoal sama ada ia ditujukan kepada Ronald Koeman, individu yang memaksanya keluar dari Barcelona.
“Tidak, tidak, tidak sama sekali. Itu jika dia terasa secara peribadi… Tidak, saya berbuat demikian kerana berjanji dengan anak-anak sebagai jenaka.”
Atletico naik ke tangga kedua di belakang pendahulu Real Madrid, sementara Barcelona kekal di tangga ke-9.
Sebelum perlawanan, presiden Barca, Joan Laporta membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan bahawa Koeman kekal sebagai pengurus pasukan.
“Saya telah meminta kelab untuk menjelaskan kedudukan jurulatih kerana sangat penting bagi keyakinan jurulatih, supaya pemain tahu,” kata Koeman setelah perlawanan.
“Presiden telah mengambil keputusan, menjelaskan kepada semua orang … tapi saya tahu kami adalah Barca, dan kami harus memenangi perlawanan.”