UEFA Champions League Berita

Messi gembira jaringkan gol pertama untuk PSG, tewaskan Pep Guardiola dan Man City

Lionel Messi akhirnya menjaringkan gol pertamanya untuk Paris Saint-Germain yang menewaskan Manchester City 2-0 di saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Ia juga merupakan gol pertamanya bersama pasukan lain selepas hanya menjaringkan gol untuk Barcelona sebelum ini.

Malah, gol yang dijaringkan itu cukup luar biasa apabila Messi membuat serangan dengan membawa bola dari bahagian tengah sebelum mara ke kawasan penalti pada minit ke-74.

Beliau membuat hantaran satu dua dengan Kylian Mbappe sebelum Messi cepat-cepat merembat bola ke sudut kanan atas, terus menerjah ke gawang gol Man City.

“Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol,” kata Messi menerusi penterjemah selepas perlawanan.

“Baru-baru ini saya tidak bermain sangat dan saya masih menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

“Semakin banyak kita bermain bersama semakin baik. Kita perlu maju bersama dan meningkatkan tahap kita.”

Pengurus PSG, Mauricio Pochettino mengakui beliau turut meraikan jaringan yang dihasilkan oleh Messi.

“Saya sangat gembira melihat gol pertamanya di sini. Dia kelas dunia. Oh saya meraikannya hari ini. Saya biasanya tidak meraikan gol. Hari ini, saya meraikannya.

“Saya sudah lama melihat begitu banyak gol Messi jaringkan menentang pasukan saya sebelum ini. Sekarang saya perlu meraikan gol yang Messi hasilkan untuk pasukan saya!”

Messi menjaringkan 672 gol untuk Barcelona tetapi ini adalah yang pertama buat PSG dalam tiga penampilan kesebelasan utama dan empat perlawanan secara keseluruhan sejak perpindahan musim panas yang mengejutkan.

Ia juga kemenangan yang mengejutkan kerana Man City tidak pernah kalah dalam lima pertemuan sebelumnya dengan PSG, mereka menang 2-1 di Paris dan 2-0 di dalam pusingan separuh akhir musim lalu sebelum tewas kepada Chelsea di final Champions League.

PSG dibarisi Messi, Neymar dan Mbappe, tetapi Idrissa Gueye yang menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelapan apabila beliau merembat bola ke sudut atas gawang gol Man City.

City mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-26, tetapi gagal disudahkan dengan baik oleh Bernardo Silva yang merembat bola melayang melepasi palang gol, walaupun beliau hanya berjarak kurang dua meter dari gawang gol.

PSG mendahului Kumpulan A dan mengumpul jumlah mata yang sama dengan Club Brugge dengan empat mata, sementara City di tempat ketiga dengan tiga mata. Club Brugge menang 2-1 ke atas RB Leipzig.