Liga Super Malaysia Berita

JDT ceburi dunia esports, turut diwakili Mohamadou Sumareh

Buat pertama kali dalam sejarah, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melakukan penampilan pertama dalam sukan esports.

Malah, JDT akan sertai pertandingan pertama iaitu Champions eFootball yang menyaksikan beberapa kelab terbaik di Asia Tenggara bertanding dalam PES 2021 dari 9 September hingga 7 Oktober ini.

Pertandingan itu akan diwakili oleh pemain bola sepak profesional JDT, Mohamadou Sumareh dan eFootballer, Mohamad NorHaikal Noh, yang merupakan peserta separuh akhir Sukan Asia 2018 dan antara dua wakil Malaysia terbaik untuk PES 2020.

“Didorong oleh minat kami terhadap bola sepak, kami teruja untuk menjejakkan kaki ke dunia esports sambil memaparkan lambang dan warna kelab kesayangan kami, JDT FC,” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Champions eFootball akan memberi kita peluang untuk mempamerkan bakat muda yang mewakili kelab sambil menarik penonton-penonton yang baru di esports.

“Kami juga bersemangat untuk bersaing dengan kelab-kelab lain di rantau ini dan menantikan perlawanan-perlawanan antarabangsa pada masa hadapan.”

Pasukan-pasukan lain yang bertanding dalam Champions eFootball ialah Buriram United FC dan Chonburi FC dari Thailand, Persib Bandung FC dari Indonesia, Tampines Rovers FC dari Singapura, United City FC dari Filipina, Nagaworld FC dari Kemboja dan Ho Chi Minh City FC dari Vietnam.

Syarikat pangkalan data terkemuka dunia, Statista melaporkan pasaran esports bernilai lebih AS$1.08 bilion dolar pada tahun 2021 manakala firma penyelidikan dan analisa, Juniper Research menganggarkan nilai industri esports dan bisnes penstriman gaming akan mencapai lebih AS$3.5 bilion dolar menjelang 2025.