Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] JDT semakin gah di takhta Liga Super, Terengganu kalah mengejut kepada Melaka

Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin selesa menduduki kerusi takhta Liga Super apabila menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Matthew Davies beraksi cemerlang bersama JDT apabila hantaran silangnya berjaya disudahkan oleh tandukan Bergson Da Silva, seminit sebelum separuh masa pertama tamat.

Namun, Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 selepas sepakan percuma luar kotak penalti Oliver Buff ditanduk masuk Ifedayo Olusegun, yang menjaringkan gol ke-14 dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun kegembiraan Selangor tidak bertahan lama apabila Matthew Davies menjaringkan gol pendahuluan di minit ke-79, sebelum Mohamadou Sumareh melengkapkan kemenangan di masa tambahan.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kini mengumpul 36 mata dan kekal sebagai pendahulu Liga Super.

Hasrat Terengganu untuk terus memberi tekanan kepada JDT tidak kesampaian apabila tewas mengejut kepada pasukan kedua tercorot Liga Super, Melaka United.

Melaka mendahului menerusi jaringan Sony Norde pada minit ke-36 sebelum pemain import baharu, Adriano menjaringkan gol kedua pada minit ke-77.

Kekalahan itu menyebabkan Terengganu ketinggalan enam mata di belakang JDT, manakala Melaka berjaya keluar dari zon penyingkiran dan melonjak ke tangga ke-9 dengan 15 mata.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Pulau Pinang mencatatkan kemenangan ketujuh apabila menewaskan UiTM FC 1-0, hasil jaringan tunggal Sheriddin Boboev pada minit ke-81.

Sabah dan Pahang pula terikat 2-2 di Kota Kinabalu. Sabah mendahului menerusi Josip Ivancic pada minit ke-58 sebelum Pahang menyamakan kedudukan menerusi Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-67.

Kedua-dua pasukan yang terikat sehingga masa kecederaan dikejutkan dengan gol Malik Mat Ariff, membuatkan pasukan Pahang hampir pasti akan mencatatkan kemenangan.

Namun, Ivancic memusnahkan harapan Pahang apabila menjaringkan gol di saat-saat akhir, menyebabkan keputusan perlawanan terikat 2-2.

Pahang kini di tangga ke-10 dengan 14 mata, manakala Sabah di tangga ke-8 dengan 17 mata.

Perak kini berada di zon penyingkiran di tangga ke-11 dengan 13 mata, selepas terikat 0-0 dengan KL City yang kini menduduki tangga ke-6 dengan 19 mata.