Liga Super Malaysia Berita

Terengganu berpesta gol, Perak kekal dalam bahaya

Terengganu menyambung saingan Liga Super dengan cemerlang apabila menewaskan Perak 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-19 menerusi gerakan pantas yang disudahkan oleh Faisal Hali, sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh David Da Silva.

Perak terus menampilkan aksi memalukan apabila pertahanan import baharu, Charlie Machell tertampan bola ke gawang sendiri melepasi Hafizul Hakim, menyebabkan Terengganu mendahului dengan 3-0 pada minit ke-42.

Hakimi Abdullah terus mempamerkan prestasi cemerlang bersama Terengganu musim ini apabila menjaringkan gol pada minit ke-70, sekali gus melebarkan jurang kedudukan kepada 4-0.

Nik Akif Syahiran Nik Mat melengkapkan kemenangan apabila menyempurnakan sepakan penalti dalam minit-minit akhir perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Terengganu mengumpul 30 mata sekali gus terikat mata dengan JDT namun hanya dipisahkan dengan beza jaringan.

Perak berada di tangga ke-10 dengan 12 mata, hanya satu mata melebihi Melaka United. Mereka hanya mempunyai 8 perlawanan untuk menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Premier.

Di Cheras, Selangor sekadar terikat seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City.

Paulo Josue menjaringkan gol pendahuluan untuk KL City menerusi sepakan percuma pada minit ke-40, sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi Oliver Buff tiga minit kemudian, namun kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan lantas keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Selangor kini menduduki tangga ke-5 dengan 20 mata, manakala KL City di tangga ke-6 dengan 18 mata.

Dalam satu lagi perlawanan di Kelana Jaya, PJ City meraih kemenangan dramatik apabila menewaskan Sabah 1-0.

Kedua-dua pasukan yang bergelut untuk menjaringkan gol sepanjang perlawanan, namun Sabah dikejutkan dengan sepakan jarak jauh oleh pemain tengah berusia 21 tahun, Sunil Chandran seminit sebelum perlawanan berakhir.

Kemenangan itu melonjakkan PJ City ke tangga ke-7 dengan 18 mata, manakala Sabah di tangga ke-8 dengan 16 mata.