Dollah Salleh dan Stanley Bernard memberikan pendapat mengenai program naturalisasi FAM.
Dollah berpendapat, meskipun Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi tidak beraksi dengan baik, khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan sebagai usaha memperkuat skuad Harimau Malaya untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Beliau sendiri mengakui pernah mencadangkan supaya skuad kebangsaan diperkuat dengan kehadiran pemain naturalisasi, walaupun pernah membimbing pasukan negara muncul naib juara Piala AFF 2014 tanpa pemain naturalisasi.
“Ini hakikat yang kita semua perlu terima,” katanya kepada Bernama.
“Malaysia memang perlukan pemain naturalisasi dan satu daripada sebabnya faktor fizikal kerana apabila beraksi di peringkat Asia, belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing.
“Masing-masing ada pendapat sendiri, kalau ikut pengalaman saya, sukar jika kita bergantung harap kepada pemain tempatan sahaja untuk ke peringkat tertinggi, jadi kita kena pastikan pemain naturalisasi ini benar-benar layak.”
CEO KL City, Stanley Bernard berpandangan kehadiran pemain naturalisasi membantu dari segi pemilihan pemain dengan memberikan lebih banyak pilihan pemain berkualiti.
Namun, beliau berharap program naturalisasi perlu diperkemas bagi mendapatkan pemain yang lebih berkualiti.
“Untuk itu, saya rasa kita berbalik kepada apa yang pemain naturalisasi itu boleh berikan kepada kita.
“Saya dapat lihat adanya mereka ini, liga kita akan menjadi lebih elit dan akan lebih banyak membantu daripada segi perkembangan sesebuah pasukan itu.”
CEO Kedah, Khamal Idris Ali pula menyifatkan skuad kebangsaan memerlukan pemain naturalisasi yang berkualiti, supaya boleh menjadi contoh kepada pemain tempatan.
“Kita kena faham dan jelas bagaimana kualiti yang ada pada seseorang pemain naturalisasi ini untuk mereka menjadi satu contoh dan penanda aras yang baik buat pemain tempatan untuk mengikut prestasi mereka.
“Keseimbangan itu juga penting tetapi untuk pemain tempatan, apabila mereka bersaing dengan pemain-pemain yang bagus, saya percaya mereka juga akan menjadi lebih bagus, jadi tiada isu pun mengenai program naturalisasi ini.”