Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe akui Dion Cools mungkin digandingkan dengan Aidil Zafuan

Tan Cheng Hoe memberi bayangan bahawa Dion Cools kemungkinan besar akan digandingkan dengan Aidil Zafuan di bahagian pertahanan skuad kebangsaan.

Beliau berkata, kemungkinan itu adalah disebabkan skuad kebangsaan dilihat agak rapuh di bahagian pertahanan berikutan ketiadaan Shahrul Saad akibat kecederaan lutut, menjadi antara punca kekalahan kepada Kuwait dan Bahrain dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Malah, Cools boleh beraksi di beberapa posisi, termasuk sebagai pertahanan tengah dan pertahanan kiri.

Justeru, katanya, pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Juara-juara Eropah itu mungkin diberikan peluang menggalas tanggungjawab di bahagian pertahanan tengah bersama Aidil.

“Pemain serba boleh ini bagus untuk pasukan, kami barisan jurulatih gembira dengan kehadiran beliau, harap dapat beri kestabilan kepada pasukan,” katanya kepada Bernama.

“Memang bukan mudah untuk mana-mana pasukan untuk mencapai keserasian dalam masa yang singkat.

“Kami telah memberikan beberapa tugas untuknya, kerja rumah mengenai cara kami bermain, menunjukkan kepada beliau video aksi pasukan, gerakan taktikal dan gaya pertahanan.

“Saya rasa beliau seorang yang mahu belajar dan cepat belajar, kita akan terus memantau perkembangannya.”

Cheng Hoe juga terpesona dengan Cools ketika beliau menyertai sesi latihan pertamanya bersama skuad kebangsaan semalam.

“Beliau membuatkan kami kagum, beliau suka bersaing, mudah sesuaikan diri dengan pasukan, mempunyai sikap yang baik dan yang paling penting beliau boleh bermain sebagai satu pasukan.”