Malaysia Berita

[VIDEO] Harimau Malaya mula jalani kem latihan pusat

Skuad kebangsaan Malaysia mula menjalani sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Ini merupakan kali pertama sesi latihan diadakan di Bukit Jalil sejak mulanya pandemik Covid-19, dengan sesi beberapa bulan lepas diadakan di pusat latihan milik JDT di Johor Bahru.

Tan Cheng Hoe berkata, hanya Syahmi Safari yang belum melaporkan diri bersama Harimau Malaya kerana urusan keluarga.

“Dia dijangka berlatih bersama kami esok (hari ini),” katanya kepada Utusan.

“Sudah pasti kita harap apabila dia datang nanti lebih fokus kepada pasukan dari masalah lain.

“Bukan Syahmi sahaja, pemain lain juga saya harap boleh bagi tumpuan 100 peratus terhadap latihan dan persiapan pasukan.”

Luqman Hakim Shamsudin, Liridon Krasniqi dan Junior Eldstal tidak sertai sesi latihan ini kerana mereka akan terus ke Dubai, UAE dan akan menyertai sesi latihan di sana.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin turut hadir memantau sesi latihan tersebut bersama-sama pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan penolong pengurus, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.

Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama empat hari sebelum berlepas ke Dubai, UAE, Khamis ini bagi menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.