Liga Super Malaysia Berita

FAM: Gagal kesan ‘Hand of Shukor’, barisan pengadil bakal dikenakan tindakan

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Datuk S. Sivasundaram mengesahkan bahawa kesemua pengadil dan pegawai perlawanan aksi Liga Super antara UiTM FC dan KL City akan dikenakan tindakan selepas gagal mengesan Shukor Adan menggunakan tangannya untuk menjaringkan gol.

Katanya, Jawatankuasa Penilaian Pengadil FAM mendapati pengadil perlawanan gagal mengesan kesalahan memainkan bola dengan menggunakan tangan oleh Shukor dan seterusnya membenarkan jaringan tersebut dikira sebagai gol yang sah.

Perlawanan itu diadili Mohd Shahrizan Mohamad Solihim bersama Mohd Zainudin Md Isa dan Hafizi Azmi sebagai pembantu pengadil, serta pegawai keempat Mohd Shahmi Ismail.

“Tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada semua pegawai perlawanan bertugas pada perlawanan itu, kerana kealpaan dalam mengesan kesalahan memainkan bola dengan tangan, sehingga mengubah keputusan perlawanan,” kata Siva dalam kenyataan.

Shukor dilihat jelas menggunakan tangannya untuk menolak masuk bola ke gawang hasil sepakan percuma kapten pasukan Paulo Josue, sekali gus muncul wira KL City dengan mengikat UiTM FC 1-1 di saat-saat akhir perlawanan.