Liga Super Malaysia Berita

Hakimi Abdullah wira Terengganu, JDT akhirnya tewas di laman sendiri

Terengganu membuktikan mereka adalah pencabar utama kejuaraan Liga Super musim ini apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Perlawanan yang cukup sengit di antara pasukan yang mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol termasuklah David Da Silva namun sepakannya sekadar terkena tiang.

Namun, JDT akhirnya dibolosi apabila pemain muda Terengganu, Hakimi Abdullah berjaya merampas bola dari kaki pertahanan lawan dan menendang masuk bola melepasi Farizal Marlias pada minit ke-57.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan, menyaksikan JDT kekal sebagai pendahulu liga dengan 23 mata namun hanya beza 2 mata dengan Terengganu yang kini di tempat kedua liga.

Terengganu juga muncul sebagai pasukan Liga Malaysia pertama yang menewaskan JDT di lamannya sendiri sejak Stadium Sultan Ibrahim dibuka secara rasmi tahun lalu.

Di Georgetown, Pulau Pinang mencatatkan kemenangan bergaya apabila menewaskan Pahang 3-0.

Endrik Dos Santos menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-11, sebelum Pulau Pinang menggandakan jaringan Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-26.

Jafri Firdaus Chew yang masuk sebagai pemain gantian melengkapkan kemenangan dengan tandukan jarak dekat pada hujung perlawanan di separuh masa kedua.

Pulau Pinang kini di tangga ke-4 liga dengan mengumpul 19 mata selepas 10 perlawanan, manakala Pahang kekal menghuni tangga ke-11 dengan 5 mata.

Dalam satu lagi perlawanan di Shah Alam, UiTM mencatatkan kekalahan ke-9 dalam 10 perlawanan selepas tewas 1-0 kepada PJ City.

Gol tunggal dijaringkan oleh pertahanan PJ City, M Tamil Maran pada minit ke-82.