Malaysia Berita

Akram Mahinan, Syazwan Andik tidak sangka dipanggil semula oleh Tan Cheng Hoe

Akram Mahinan tidak menyangka akan kembali berada dalam perancangan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ini selepas beliau dilihat bersama-sama dengan skuad kebangsaan yang menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di Putrajaya baru-baru ini.

Manakan tidak, Akram sudah lama tidak terlibat dengan skuad kebangsaan dan kali terakhir mewakili negara ketika aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang Vietnam pada Oktober 2019, dua tahun lalu.

“Saya sangat bersyukur kerana kekal dalam perancangan Cheng Hoe,” katanya kepada Astro Arena.

“Ia merupakan penyuntik semangat untuk terus beraksi cemerlang selepas ini.”

Bukan Akram sahaja, malah Syazwan Andik turut kelihatan menerima dos suntikan vaksin pertama dengan skuad kebangsaan, meskipun beraksi dengan JDTII di Liga Premier.

“Saya berasa teruja kerana kembali dalam skuad kebangsaan,” katanya.

“Prestasi dalam saingan Liga Premier perlu dipamerkan sebaik mungkin untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.”