Liga Super Malaysia Berita

CEO Terengganu kecewa bilangan penonton di stadium terlalu rendah

CEO Terengganu, Ab Rasid Jusoh mengakui kecewa dengan kehadiran peminat pasukannya yang tidak sampai separuh daripada jumlah dibenarkan dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Dalam perlawanan minggu lalu, hanya 2,918 peminat Terengganu yang hadir menyaksikan perlawanan menentang KL City manakala pertemuan skuad Terengganu II menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu lalu lebih teruk apabila merekodkan 27 penonton sahaja.

“Secara jujurnya saya masih tidak puas hati dengan kehadiran peminat setia pasukan dalam dua pertemuan itu,” katanya kepada Berita Harian.

“Lebih-lebih lagi kali pertama penonton dibenarkan masuk ke stadium selepas lebih setahun tidak dibenarkan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Hasil analisis punca utama kerana kaedah pembelian tiket secara dalam talian adalah rumit sekali gus menyebabkan mereka yang tidak tahu untuk menggunakan aplikasi itu tidak akan membelinya.

“Faktor kedua adalah pada bulan puasa, di mana peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk solat Tarawih dan ditambah mungkin kekangan daripada segi masa dan sebagainya.”

Disebabkan itu, Rasid berkata pihaknya mengambil inisiatif membuka kaunter untuk peminat datang membeli tiket di pejabat pasukan Terengganu selain mempromosikan dalam pelbagai saluran.

“Bagaimanapun ia belum mampu menarik minat penonton untuk hadir ke stadium menyaksikan dua perlawanan itu walaupun kita menyediakan sebanyak 6,000 keping tiket sebagaimana yang ditetapkan MFL.

“Kami harapkan pertemuan akan datang peminat dapat memenuhi stadium bagi memberi sokongan padu kepada pemain lebih-lebih lagi TFC dan TFC II kini berada dalam kedudukan terbaik liga.”